Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan,
martabat dan kewarganegaraan bagi sebuah
negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan
perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain
yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali
sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan
kedudukan golongan Diraja yang memerintah.
Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar
bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di
sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah
Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis,
Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan
Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna
putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan
bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga
warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan
Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara
Komanwel.
Sejarah Bendera Malaysia Pada 29 November 1949, Majlis
Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan
pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi
kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik
Mohamad bin Hamzah (arkitek kerajaan
Johor) dipilih sebagai pemenang.
Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat
beberapa pindaan dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada
22 dan 23 Februari1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan
telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19
Mei 1950.
Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera
Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor
dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI
pada 26 Mei 1950. Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar
dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah
Melayu.
Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965,
namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya. Setelah berkibar megah
sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang
merupakan Perdana Menteri ketika itu telah mengukir satu lagi sejarah apabila
beliau mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG.
Susunan Keutamaan Bendera
Susunan keutamaan Bendera Malaysia dan negeri-negeri
ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang
Di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan
Persekutuan. Sehubungan itu, susunan keutamaan bendera yang diguna pakai bagi
tahun 2009 adalah seperti berikut:-
- Malaysia
- Kedah
- Pahang
- Kelantan
- Johor
- Perak
- Perlis
- Selangor
- Negeri Sembilan
- Terengganu
- Sarawak
- Pulau Pinang
- Sabah
- Melaka
- Wilayah Persekutuan